Tuesday, September 9, 2008

Kita semua pendatang?

Nampaknya kini isu pendatang dan konsep pendatang sudah menimbulkan kekeliruan dan pertelagahan dalam politik dan masyarakat kita.

Sementara orang bukan Melayu tidak suka, bahkan marah dipanggil pendatang dan penumpang, ada pula orang Melayu yang menganggap dirinya pun pendatang dan mengatakan 'kita semua pendatang".

Malah, agak menarik juga, apabila Ketua Wanita Umno, Rafidah Aziz mengadakan dia pun keturunan pendatang dari Sumatera!

Ini saya rasa memang merupakan satu kekeliruan yang teruk.

Sebenarnya, bagi saya, konsep pendatang itu harus digunakan dalam konteks sejarah, politik dan budaya yang tertentu.

Dari segi sejarah, pada zaman pra-kolonial dan kolonial, seluruh Alam Melayu atau Nusantara, adalah satu kawasan budaya yang didiami oleh "orang Melayu", walaupun di kawasan itu ada beratus kerajaan, kecil dan besar. Pada period atau zaman tertentu, Nusantara adalah "tempat asal" orang Melayu.

Konsep pendatang tidak timbul pada masa itu, kerana ketika itu penduduk Alam Melayu boleh berpindah atau berhijrah ke mana-mana saja dalam kawasan budaya itu, dan tidak ada undang-undang yang membatasi pergerakan mereka.

Itulah sebabnya anak raja dari Minangkabau boleh berpindah ke Negeri Sembilan dan anak raja dari Bugis boleh berpindah ke Selangor, dan kedua-duanya boleh menjadi raja di tempat yang baru itu.

Konsep pendatang timbul apabila orang Cina datang ke Melaka, Selangor, Johor dan lain-lain, kerana mereka datang dari kawasan budaya yang lain (dari luar Alam Melayu) dan di negeri-negeri Melayu pun sudah ada raja dan sistem kerajaan yang agak mantap.

Kebetulan pada zaman pra-kolonial dan zaman kolonial itu majoriti orang Cina datang ke negara ini kerana tujuan ekonomi sahaja. Taat setia mereka pun masih terhadap tanah air mereka (Cina), dan faham kebangsaan yang mereka dukung pun faham kebangsaan Cina.

Jadi rasanya tidak salah, jika pada zaman pra-kolonial dan kolonial itu, mereka dianggap sebagai pendatang dan penumpang sahaja di negara ini.

Orang-orang Jawa, Bugis, Minangkabau, Banjar dll yang datang pada zaman kolonial, masih tidak dianggap sebagai pendatang, kerana mereka bukan saja datang dari kawasan budaya yang sama, tetapi pada masa itu konsep kewarganegaraan seperti pada hari ini pun masih belum wujud.

Konsep warga negara (dalam pengertian negara moden) hanya wujud selepas negara Indonesia wujud pada tahun 1945, dan Malaya wujud pada tahun 1957. Hanya selepas itu istilah pendatang barangkali boleh digunakan kepada orang-orang yang datang dari Indonesia.

Orang-orang dari Indonesia yang datang sebelum wujudnya kedua negara itu bukan pendatang. Dan dengan itu tidak tepat jika dikatakan "kita semua pendatang", walaupun datuk nenek kita berasal dari Pulau Jawa, Sulawesi, Sumatera, Kalimantan dan sebagainya.

Kalau kita semua pendatang, bagaimana sekarang orang Melayu sahaja boleh jadi raja mengikut keturunan, dan orang Cina tidak ada yang jadi raja?

Tentang orang yang berasal dari Arab, India (India Muslim khususnya), Turki dan sebagainya yang datang pada zaman pra-kolonial dan kolonial, walaupun mereka dari luar Alam Melayu, tetapi mereka juga tidak dianggap sebagai pendatang kerana mereka beragama Islam, menggunakan bahasa Melayu dan mengamalkan adat istiadat Melayu. Mereka telah diterima sebagai sebahagian orang Melayu, berasaskan faktor budaya, dan dengan itu tidak dikonsepsikan sebagai pendatang.

Jadi sebagai kesimpulannya, orang Cina dianggap sebagai pendatang pada zaman pra-kolonial dan zaman kolonial dahulu, terutamanya kerana mereka datang dari kawasan budaya yang lain dan mereka datang setelah adanya konsep kerajaan dan rakyat sesebuah kerajaan itu.

Orang Melayu tidak dianggap sebagai pendatang pada zaman pra-kolonial dan kolonial (dan zaman kini juga) kerana mereka adalah penduduk asal Alam Melayu atau Nusantara, walaupun mereka berpindah dari satu kawasan ke kawasan yang lain.

Yang tidak kurang pentingnya, orang Melayu telah menubuhkan sistem kerajaan dan pemerintahan yang agak mantap , dan dengan raja yang berdaulat, pada zaman pra-kolonial, sebelum orang Cina yang berasal dari kawasan budaya yang lain itu datang ke negara ini.

Orang keturunan Arab, India Muslim, Turki dan segelintir yang lain juga tidak dianggap sebagai pendatang kerana mereka telah terserap ke dalam budaya Melayu dan menjadi sebahagian orang Melayu sejak zaman pra-kolonial lagi. Inilah penggunaan konsep pendatang dari segi budaya tadi.

Dengan itu, orang Melayu bukan pendatang, dan tidak tepat jika dikatakan "kita semua adalah pendatang".

Thursday, September 4, 2008

Siapakah pejuang kemerdekaan?

Soalan di atas sepatutnya tidak perlu dipertanyakan lagi. Akan tetapi , sesetengah pihak, tidak bersetuju apabila Tunku Abdul Rahman dianggap sebagai "bapa kemerdekaan" , sementara peranan pejuang lain, seperti Ibrahim Yaakob, Dr.Burhanuddin dll daripada "golongan kiri" seolah-olah dilupakan dan tidak diberi pengiktirafan.

Dalam hal ini, ada satu soalan yang perlu kita jawab terlebih dahulu: Bilakah perjuangan kemerdekaan itu bermula? Tahun 1946, dengan kemunculan penentangan terhadap Malayan Union, atau lebih awal daripada itu?

Kalau kita membaca sejarah mengikut versi rasmi atau versi kerajaan, kita seolah-olah diberitahu bahawa perjuangan kemerdekaan itu hanya bermula pada tahun 1946, iaitu apabila orang Melayu bangkit menentang gagasan Malayan Union.

Ini tentu tidak benar. Perjuangan kemerdekaan sebenarnya sudah bermula pada tahun 1930-an lagi atau lebih awal daripada itu.

Pada tahun 1938 Kesatuan Melayu Muda (KMM) yang dipimpin oleh Ibrahim Yaakob dan Mustapha Hussein telah ditubuhkan sebagai "parti politik" pertama yang memperjuangkan kemerdekaan. Kerana itu, Ibrahim Yaakob boleh dianggap sebagai pelopor atau pejuang awal kemerdekaan -- bukan Tunku Abdul Rahman.

Sementara itu, Parti Komunis Malaysia (PKM) yang ditubuhkan pada tahun 1930 juga berjuang untuk membebaskan Malaya dari penjajahan Inggeris. Walaupun tujuan akhir PKM adalah untuk menubuhkan negara komunis, tapi tidak boleh dinafikan PKM juga turut memainkan peranan dalam perjuangan kemerdekaan.

Kita tidak nafikan bahawa perjuangan KMM yang kemudiannya disambung oleh Parti Kebangsaan Melayu Malaya (PKMM) mulai tahun 1945 untuk mendapatkan kemerdekaan telah gagal. Begitu juga perjuangan bersenjata yang dilancarkan oleh PKM. Namun, peranan pemimpin pelbagai persatuan itu sebagai pejuang kemerdekaan tentu patut diakui dan diberi pengiktirafan.

Sebagaimana yang kita semua maklum, apabila darurat diisytiharkan pada bulan Jun 1948, parti kiri seperti PKMM, dan sekutunya API, AWAS dan BATAS, dan parti Islam seperti Hizbul Muslimin , serta PKM telah diharamkan oleh kerajaan penjajah Inggeris.

Dengan pengharaman parti-parti kiri, UMNO yang ditubuhkan pada tahun 1946 dalam konteks penentangan orang Melayu terhadap Malayan Union telah berkembang pesat dalam suasana tidak ada persaingan daripada parti lain.

UMNO yang dipimpin oleh Tunku Abdul Rahman berjaya mengambil alih pemerintahan daripada penjajah Inggeris melalui perundingan, kerana UMNO ialah sebuah parti konservatif, yang mahu bekerjasama dengan Inggeris dan bersedia menjaga kepentingan Inggeris (khasnya ekonomi dan pengkalan perangnya).

Dengan kejayaan Tunku Abdul Rahman mengambil alih pemerintahan daripada pihak Inggeris itu, kita boleh mengiktiraf beliau sebagai "bapa kemerdekaan".

Akan tetapi, peranan Ibrahim Yaakob sebagai pelopor dan pejuang kemerdekaan, bersama banyak lagi tokoh kiri yang lain, tentu tidak wajar dilupakan, malah patut diberi pengiktirafan.

Monday, August 18, 2008

Salam Perkenalan

Blog ini diwujudkan untuk membincangkan isu-isu semasa. Selamat membaca.