Tuesday, September 9, 2008

Kita semua pendatang?

Nampaknya kini isu pendatang dan konsep pendatang sudah menimbulkan kekeliruan dan pertelagahan dalam politik dan masyarakat kita.

Sementara orang bukan Melayu tidak suka, bahkan marah dipanggil pendatang dan penumpang, ada pula orang Melayu yang menganggap dirinya pun pendatang dan mengatakan 'kita semua pendatang".

Malah, agak menarik juga, apabila Ketua Wanita Umno, Rafidah Aziz mengadakan dia pun keturunan pendatang dari Sumatera!

Ini saya rasa memang merupakan satu kekeliruan yang teruk.

Sebenarnya, bagi saya, konsep pendatang itu harus digunakan dalam konteks sejarah, politik dan budaya yang tertentu.

Dari segi sejarah, pada zaman pra-kolonial dan kolonial, seluruh Alam Melayu atau Nusantara, adalah satu kawasan budaya yang didiami oleh "orang Melayu", walaupun di kawasan itu ada beratus kerajaan, kecil dan besar. Pada period atau zaman tertentu, Nusantara adalah "tempat asal" orang Melayu.

Konsep pendatang tidak timbul pada masa itu, kerana ketika itu penduduk Alam Melayu boleh berpindah atau berhijrah ke mana-mana saja dalam kawasan budaya itu, dan tidak ada undang-undang yang membatasi pergerakan mereka.

Itulah sebabnya anak raja dari Minangkabau boleh berpindah ke Negeri Sembilan dan anak raja dari Bugis boleh berpindah ke Selangor, dan kedua-duanya boleh menjadi raja di tempat yang baru itu.

Konsep pendatang timbul apabila orang Cina datang ke Melaka, Selangor, Johor dan lain-lain, kerana mereka datang dari kawasan budaya yang lain (dari luar Alam Melayu) dan di negeri-negeri Melayu pun sudah ada raja dan sistem kerajaan yang agak mantap.

Kebetulan pada zaman pra-kolonial dan zaman kolonial itu majoriti orang Cina datang ke negara ini kerana tujuan ekonomi sahaja. Taat setia mereka pun masih terhadap tanah air mereka (Cina), dan faham kebangsaan yang mereka dukung pun faham kebangsaan Cina.

Jadi rasanya tidak salah, jika pada zaman pra-kolonial dan kolonial itu, mereka dianggap sebagai pendatang dan penumpang sahaja di negara ini.

Orang-orang Jawa, Bugis, Minangkabau, Banjar dll yang datang pada zaman kolonial, masih tidak dianggap sebagai pendatang, kerana mereka bukan saja datang dari kawasan budaya yang sama, tetapi pada masa itu konsep kewarganegaraan seperti pada hari ini pun masih belum wujud.

Konsep warga negara (dalam pengertian negara moden) hanya wujud selepas negara Indonesia wujud pada tahun 1945, dan Malaya wujud pada tahun 1957. Hanya selepas itu istilah pendatang barangkali boleh digunakan kepada orang-orang yang datang dari Indonesia.

Orang-orang dari Indonesia yang datang sebelum wujudnya kedua negara itu bukan pendatang. Dan dengan itu tidak tepat jika dikatakan "kita semua pendatang", walaupun datuk nenek kita berasal dari Pulau Jawa, Sulawesi, Sumatera, Kalimantan dan sebagainya.

Kalau kita semua pendatang, bagaimana sekarang orang Melayu sahaja boleh jadi raja mengikut keturunan, dan orang Cina tidak ada yang jadi raja?

Tentang orang yang berasal dari Arab, India (India Muslim khususnya), Turki dan sebagainya yang datang pada zaman pra-kolonial dan kolonial, walaupun mereka dari luar Alam Melayu, tetapi mereka juga tidak dianggap sebagai pendatang kerana mereka beragama Islam, menggunakan bahasa Melayu dan mengamalkan adat istiadat Melayu. Mereka telah diterima sebagai sebahagian orang Melayu, berasaskan faktor budaya, dan dengan itu tidak dikonsepsikan sebagai pendatang.

Jadi sebagai kesimpulannya, orang Cina dianggap sebagai pendatang pada zaman pra-kolonial dan zaman kolonial dahulu, terutamanya kerana mereka datang dari kawasan budaya yang lain dan mereka datang setelah adanya konsep kerajaan dan rakyat sesebuah kerajaan itu.

Orang Melayu tidak dianggap sebagai pendatang pada zaman pra-kolonial dan kolonial (dan zaman kini juga) kerana mereka adalah penduduk asal Alam Melayu atau Nusantara, walaupun mereka berpindah dari satu kawasan ke kawasan yang lain.

Yang tidak kurang pentingnya, orang Melayu telah menubuhkan sistem kerajaan dan pemerintahan yang agak mantap , dan dengan raja yang berdaulat, pada zaman pra-kolonial, sebelum orang Cina yang berasal dari kawasan budaya yang lain itu datang ke negara ini.

Orang keturunan Arab, India Muslim, Turki dan segelintir yang lain juga tidak dianggap sebagai pendatang kerana mereka telah terserap ke dalam budaya Melayu dan menjadi sebahagian orang Melayu sejak zaman pra-kolonial lagi. Inilah penggunaan konsep pendatang dari segi budaya tadi.

Dengan itu, orang Melayu bukan pendatang, dan tidak tepat jika dikatakan "kita semua adalah pendatang".

3 comments:

Anonymous said...

Jangan jadi Singapura

Singapura melenyapkan sejarah Temasik dan sejarah Parameswara. Sejarah Singapura hanya bermula selepas Raffles sahaja.

Begitu juga nanti akan terjadi dengan sejarah kita. Sejarah tentang kerajaan Kedah tua, kerajaan perak tua, kerajaan Melayu Melaka akan hilang jika kita hanya berasional.

Cintakan negara menuntut emosional.

Unknown said...

Salam Bro

Biar pun dipertikai tentang MELAYU,jangan digadaikan Tanah Melayu untuk kali kedua selepas Singpura.

Apa yang terjadi pada MELAYU Singapura?Kita semua sedari.

MalayMind said...

http://malaymind.blogspot.com/2008/10/malay-anthropology-true-revelation-of.html

Penjelasan perlu diberikan kepada bukan melayu ni. Terkadang diorang sengaja memekakkan telinga.