Thursday, September 4, 2008

Siapakah pejuang kemerdekaan?

Soalan di atas sepatutnya tidak perlu dipertanyakan lagi. Akan tetapi , sesetengah pihak, tidak bersetuju apabila Tunku Abdul Rahman dianggap sebagai "bapa kemerdekaan" , sementara peranan pejuang lain, seperti Ibrahim Yaakob, Dr.Burhanuddin dll daripada "golongan kiri" seolah-olah dilupakan dan tidak diberi pengiktirafan.

Dalam hal ini, ada satu soalan yang perlu kita jawab terlebih dahulu: Bilakah perjuangan kemerdekaan itu bermula? Tahun 1946, dengan kemunculan penentangan terhadap Malayan Union, atau lebih awal daripada itu?

Kalau kita membaca sejarah mengikut versi rasmi atau versi kerajaan, kita seolah-olah diberitahu bahawa perjuangan kemerdekaan itu hanya bermula pada tahun 1946, iaitu apabila orang Melayu bangkit menentang gagasan Malayan Union.

Ini tentu tidak benar. Perjuangan kemerdekaan sebenarnya sudah bermula pada tahun 1930-an lagi atau lebih awal daripada itu.

Pada tahun 1938 Kesatuan Melayu Muda (KMM) yang dipimpin oleh Ibrahim Yaakob dan Mustapha Hussein telah ditubuhkan sebagai "parti politik" pertama yang memperjuangkan kemerdekaan. Kerana itu, Ibrahim Yaakob boleh dianggap sebagai pelopor atau pejuang awal kemerdekaan -- bukan Tunku Abdul Rahman.

Sementara itu, Parti Komunis Malaysia (PKM) yang ditubuhkan pada tahun 1930 juga berjuang untuk membebaskan Malaya dari penjajahan Inggeris. Walaupun tujuan akhir PKM adalah untuk menubuhkan negara komunis, tapi tidak boleh dinafikan PKM juga turut memainkan peranan dalam perjuangan kemerdekaan.

Kita tidak nafikan bahawa perjuangan KMM yang kemudiannya disambung oleh Parti Kebangsaan Melayu Malaya (PKMM) mulai tahun 1945 untuk mendapatkan kemerdekaan telah gagal. Begitu juga perjuangan bersenjata yang dilancarkan oleh PKM. Namun, peranan pemimpin pelbagai persatuan itu sebagai pejuang kemerdekaan tentu patut diakui dan diberi pengiktirafan.

Sebagaimana yang kita semua maklum, apabila darurat diisytiharkan pada bulan Jun 1948, parti kiri seperti PKMM, dan sekutunya API, AWAS dan BATAS, dan parti Islam seperti Hizbul Muslimin , serta PKM telah diharamkan oleh kerajaan penjajah Inggeris.

Dengan pengharaman parti-parti kiri, UMNO yang ditubuhkan pada tahun 1946 dalam konteks penentangan orang Melayu terhadap Malayan Union telah berkembang pesat dalam suasana tidak ada persaingan daripada parti lain.

UMNO yang dipimpin oleh Tunku Abdul Rahman berjaya mengambil alih pemerintahan daripada penjajah Inggeris melalui perundingan, kerana UMNO ialah sebuah parti konservatif, yang mahu bekerjasama dengan Inggeris dan bersedia menjaga kepentingan Inggeris (khasnya ekonomi dan pengkalan perangnya).

Dengan kejayaan Tunku Abdul Rahman mengambil alih pemerintahan daripada pihak Inggeris itu, kita boleh mengiktiraf beliau sebagai "bapa kemerdekaan".

Akan tetapi, peranan Ibrahim Yaakob sebagai pelopor dan pejuang kemerdekaan, bersama banyak lagi tokoh kiri yang lain, tentu tidak wajar dilupakan, malah patut diberi pengiktirafan.

4 comments:

TICO said...

Salam tuan

Mengapa tuan tidak masukkan perjuangan Tk Janggut,Dol Said, Datuk Bahaman sebagai perjuangan menuntut kemerdekaan.

Cheguman said...

Tuan,
Selamat berpindah ke blog baru.

Salman Madani said...

Salam Sdr.Tico,

Kalau kita hendak menulis sejarah perjuangan kemerdekaan yang komprehensif, peranan Tok Janggut, Dol Said, Datuk Bahaman dll memang perlu dimasukkan.

Saya menulis catatan ringkas sekadar untuk menunjukkan bahawa perjuangan kemerdekaan bukan bermula pada tahun 1946 sebagaimana yang sering didakwa oleh pemimpin UMNO dan kerajaan, dan Tunku Abdul Rahman bukanlah orang yang mempelopori perjuangan kemerdekaan.

Anonymous said...

Tapi umno sentiasa lebih bijak dari parti-parti lain. cuma sekarang ni jer jadi dungu.